in

Cara Solat Tahajjud Yang Mudah & Betul

Cara Solat Tahajjud Yang Mudah & Betul

Rasa gelisah? Banyak masalah yang menimpa dan seolah-olah tiada jalan keluar?

Mungkin dah tiba masanya bagi anda untuk melakukan solat malam ataupun lebih dikenali sebagai tahajjud. InsyaAllah semua masalah dan kekusutan yang anda hadapi akan diselesaikan oleh Allah.

Rasulullah SAW bersabda: “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.” (Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)

Solat tahajjud adalah solat sunat yang dilakukan pada waktu malam setelah terjaga dari tidur. Waktu paling afdal ialah sepertiga malam atau lebih kurang pada pukul 3 pagi. Solat ini adalah solat sunat yang sangat dituntut dan merupakan kelaziman yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat baginda yang mulia.

Tujuan Solat Tahajjud

Ulama telah menyenaraikan beberapa tujuan dari solat tahajjud ini. Antaranya ialah:

  1. Sebagai tanda kita seorang hamba kepada Allah
  2. Mendekatkan diri kepada pencipta kita iaitu Allah
  3. Tanda bersyukur dengan segala nikmat Allah kurniakan kepada kita
  4. Menjadikan jiwa lebih kuat serta bertambah takwa kita
  5. Walau pelbagai masalah menimpa, jiwa kita tetap mempunyai kekuatan menghadapinya

Cara Menunaikan Solat Tahajjud

Solat tahajjud ini paling ringkas anda boleh solat sebanyak 2 rakaat sahaja. Tetapi kalau anda mempunyai kemampuan, boleh sahaja solat sebanyak rakaat yang anda mampu. Lebih banyak, lebih baik.

Namun jika anda hanya mampu untuk solat 2 rakaat sahaja tetapi konsisten setiap malam, itu lebih baik. Kerana itulah amalan yang disukai oleh Allah.

Rasulullah SAW telah bersabda,: “Amalan yang disukai oleh Allah, adalah yang terus menerus (istiqamah) walaupun sedikit.” (Riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah.)

Niat Solat Tahajjud

solat tahajjud lafaz niat

Sahaja aku solat sunat tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta’la.

Bacaan Surah selepas Al-Fatihah (rakaat pertama dan rakaat kedua)

(a)
Rakaat pertama: Ayat Kursi (Sebanyak 7 kali)
Rakaat kedua : Surah Al-Ikhlas (11 kali)

Atau anda boleh memilih cara ini

(b)
Rakaat pertama: Surah Al-Kafirun
Rakaat kedua : Surah Al-Ikhlas

Selepas salam, anda bolehlah membaca doa ini:

solat tahajjud bacaan doa

Maksudnya: “Ya Allah bagi-Mu segala pujian, Engkaulah Pencipta semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya. Bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang menerangi semua langit dan bumi dan orang-orang yang berada di dalamnya. bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang benar dan janji Engkau adalah benar, syurga dan neraka adalah benar, semua nabi Engkau adalah benar, Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar. Ya Allah kepada-Mulah aku serahkan diriku, aku percaya kepada Engkau, tempat aku berserah diri dan kepada Engkau aku kembali, dengan pertolongan Engkau aku menghadapi musuhku, kepada Engkau aku berhukum. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terkemudian, dosa yang tersembunyi dan yang nyata dan dosa yang hanya Engkau sahaja yang mengetahui. Engkaulah yang dahulu dan yang akhir, tiada tuhan kecuali Engkau dan tiada daya upaya kecuali dengan pertolongan Engkau.”

Kelebihan Solat Tahajjud

Banyak kelebihan solat tahajjud yang telah disenaraikan oleh para alim ulama kita terdahulu. Antaranya ialah:

Tawaran ke Syurga Dengan Selamat

Abdullah Ibn Muslin berkata “kalimat yang pertama kali ku dengar dari Rasulullah Saw saat itu adalah, “Hai sekalian manusia! Sebarkanlah salam, bagikanlah makanan, sambunglah silaturahim, tegakkan lah solat malam saat manusia lainnya sedang tidur, nescaya kamu masuk syurga dengan selamat.” (HR. Ibnu Majah).

Menguatkan Badan Dari Serangan Penyakit

Salman Al Farisi berkata, Rasulullah Saw bersabda, “Dirikanlah solat malam, kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, mendekatkan kamu kepada tuhanmu, penebus perbuatan buruk, mencegah berbuat dosa, dan menghindarkan diri dari penyakit yang menyerang tubuh.” (HR. Ahmad)

Darjat Seorang Muslim Diangkat

Rasulullah Saw bersabda, “Jibril mendatangiku dan berkata, “Wahai Muhammad, hiduplah sesukamu, kerana engkau akan mati, cintailah orang yang engkau suka, kerana engkau akan berpisah dengannya, lakukanlah apa keinginanmu, engkau akan mendapatkan balasannya, ketahuilah bahawa sesungguhnya kemuliaan seorang muslim adalah pada solat waktu malam.” (HR. Al Baihaqi)

Doa Mudah Dikabulkan

Sekiranya anda menjadikan solat tahajjud ini sebahagian daripada amalan anda, insyaAllah doa anda mudah untuk dikabulkan. “Dari Jabir berkata, bahawa Nabi Saw bersabda, “Sesungguhnya di malam hari , ada satu saat yang ketika seorang muslim meminta kebaikan dunia dan akhirat, pasti Allah memberinya, Itu berlangsung setiap malam.” (HR. Muslim)

Jom kita sama-sama mengamalkan solat tahajjud dengan niat mendekatakn diri kepada Allah dan mendapatkan keampunan dari-Nya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

Comments

comments