in

Tema Hari Pekerja 2018

Hari Pekerja adalah satu nama untuk pelbagai cuti tahunan di Malaysia yang biasanya disambut pada 1 Mei setiap tahun. Tema Hari Pekerja 2018 yang dipilih adalah ‘Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara’. Tema ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Feb yang lepas sempena dengan Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Tengah di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Cuti umum bersempena Hari Pekerja pada tahun 2018 kekal pada 1 Mei seperti tahun-tahun sebelumnya. Majlis sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2018 diadakan pada pagi 1 Mei di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sejarah Hari Pekerja

Hari Pekerja atau Hari Buruh bukan sahaja disambut di Malaysia akan tetapi sebenarnya hari ini disebut juga sebagai Hari Pekerja Antarabangsa, yang mana ia merupakan peringatan tentang kejayaan ekonomi dan sosial bagi pergerakan pekerja di seluruh dunia.

Tarikh 1 Mei digunakan kerana pada tahun 1884, Persekutuan Persatuan Pekerja dan Buruh, yang diinspirasikan oleh kejayaan Parti Labour 1872 di Kanada, meminta lapan jam waktu berkerja di Amerika Syarikat dan telah dikuatkuasakan pada 1 Mei 1886.

Gerakan ini sebenarnya bermula pada musim bunga 1872 apabila pemimpin buruh Amerika Syarikat, Peter McGuire telah mengetuai 100,000 pekerja yang tidak berpuas hati dengan masa kerja yang panjang dan upah yang murah.

Mereka mengadakan mogok dan berarak di jalan raya untuk menuntut supaya masa kerja yang tidak menentu dikurangkan dan ditetapkan kepada lapan jam sehari.

Tanggal 5 September 1882 menandakan perarakan Hari Pekerja pertama diadakan di New York di mana seramai 20,000 pekerja menyertai perarakan tersebut dengan slogan “Lapan Jam Kerja, Lapan Jam Rehat dan Lapan Jam Rekreasi”.

Mc Guire mencadangkan supaya pekerja Amerika Syarikat diberi cuti umum setiap Isnin pertama bulan September, iaitu tarikh Hari Pekerja yang disambut di Amerika Syarikat dan Kanada sehingga hari ini.

Pada tanggal 1 Mei 1886, seramai 400,000 pekerja di Amerika Syarikat mengadakan demonstrasi besar-besaran untuk memendekkan masa kerja. Demonstrasi ini berakhir dengan kematian apabila peserta demontrasi menjadi mangsa kekerasan pasukan polis.

Selepas peristiwa hitam itu, Kongres Sosialis Dunia, pada Julai 1889, telah mengisytiharkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja Sedunia dan menuntut semua negara menggubal akta supaya waktu kerja ditetapkan kepada lapan jam sehari.

Di Malaysia, Hari Pekerja mula disambut dan diumumkan sebagai cuti umum pada 1972 oleh Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr Ismail Abdul Rahman. Pengumuman tersebut dibuat dalam ucapanya ketika merasmikan Seminar Kesatuan Sekerja Biro Buruh dan Kesatuan Sekerja UMNO yang diadakan di Dewan Belia, Kampung Pandan pada 20 Mei 1972.

Tema Hari Pekerja Malaysia

2006 – Pekerja Cemerlang Negara Terbilang
2007 – Pekerja Produktif Negara Kompetiti
2008 – Pekerja Inovatif, Negara Kompetitif
2009 – Kerana Mu Malaysia Maju
2010 – Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi
2011 – Pekerja Merealisasi Transformasi Negara
2012 – Pekerja Berinovatif Penggerak Transformasi
2013 – Pekerja Pemangkin Transformasi Negara
2014 – Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi
2015 – Pekerja Sihat Produktiviti Meningkat
2016 – Pekerja Berkemahiran Penggerak Ekonomi
2017 – Pekerja Kreatif Pencetus Inovasi
2018 – Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara

Tema Hari Pekerja 2018 `Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara’ dipilih kerana ia bersesuaian dengan kehendak semasa yang inginkan pekerja berkemahiran bagi memenuhi hasrat sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

One Comment

Loading…

Comments

comments