in

8 Cara Mengundi PRU14 Pilihan Raya Umum SPR 2018

Anda tahu bagaimana cara-cara mengundi yang tepat? Pastikan anda mengikuti cara yang betul kerana setiap undi anda adalah sangat bermakna untuk masa hadapan negara ini.

Adalah menjadi hak setiap warganegara yang layak untuk memilih kerajaan untuk memerintah negara melalui pemilihan wakil rakyat untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat dan Dewan-dewan Undangan Negeri. Sebelum anda dibenarkan mengundi wakil rakyat pilihan anda dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, anda perlulah mendaftarkan nama anda sebagai pemilih. Anda tidak boleh mengundi sekiranya nama anda tidak disenaraikan dalam daftar pemilih.

Bagi warganegara yang namanya telah tersenarai dalam daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya, anda diperlukan hadir sendiri ke tempat-tempat mengundi yang telah ditetapkan oleh SPR untuk mengundi PRU14.

Bagaimana Nak Mengundi?

Sebelum Pilihan Raya
1. Semak butiran peribadi pengundi dalam daftar pemilih melalui Portal SPR https://pengundi.spr.gov.my, SMS ataupun menghubungi Call Centre di talian 03-8881 0081
2. Selepas pembubaran, semak pula kedudukan pusat mengundi yang telah ditetapkan kepada anda.

Semasa Tempoh Berkempen
Kenalilah calon anda semasa tempoh ini.
Anda juga boleh terlibat dalam aktiviti berkempen untuk calon yang anda sukai dengan syarat sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Semasa Hari Pengundian 9 Mei 2018
Datang awal ke Pusat Mengundi
Dapatkan slip Saluran Mengundi di Barong Semakan SPR
Beratur dengan senyap di saluran mengundi anda
Bila dibenarkan masuk ikuti prosedur berdasarkan poster 8 langkah cara mengundi
Segera beredar selepas mengundi. Pusat mengundi adalah kawasan larangan.

8 Cara-Cara Mengundi PRU14

1. Pergi ke Barong SPR untuk semakan Tempat Mengundi (Saluran). Pengundi boleh terus pergi ke Saluran sekiranya telah membuat semakan lebih awal (semakan dalam talian).
2. Masuk ke Tempat Mengundi (Saluran) apabila dibenarkan oleh polis yang mengawal.
3. Serahkan Mykad atau Dokumen Pengenalan Diri dan Slip Saluran kepada Kerani Pengundian Pertama. Tunjukkan kedua-dua belah tangan untuk diperiksa.
4. Bergerak ke hadapan Kerani Pengundian Kedua. Hanya selepas dibenarkan, celupkan jari telunjuk kiri ke dalam botol Dakwat Pilihan Raya. Pada masa yang sama, nama anda akan diteriakkan oleh Kerani Pengundian Pertama.
5. Dapatkan kertas undi daripada Kerani Pengundian Ketiga.
6. Dipetak kertas undi pastikan anda menandakan X pada ruang kosong bersebelahan nama dan simbol calon dalam Kertas Undi dengan menggunakan pen. Pilih SATU CALON sahaja.
7. Masukkan kertas undi yang TELAH DITANDA ke dalam Peti Undi.
8. Setelah selesai segera keluar dari Tempat Mengundi (Saluran).